Sunday, January 6, 2013

# 3

Bismillahirrahmanirrahim.

Buat pertama kalinya dalam tahun 2013 ini saya dapat meluangkan masa untuk menjenguk kembali ke ruangan blog ini. Bukan masalahnya tiada masa langsung untuk menulis, tetapi mungkin kerana tidak tahu bagaimana ingin dizahirkan dalam kata-kata, apa yang telah saya lalui. Mungkin juga kerana saya merasakan tiada perkara yang penting untuk diceritakan di sini.

Bagaimanapun hari ini saya terpanggil untuk meluahkan  sedikit sebanyak, apa yang terbuku di hati saya. Sekadar berkongsi, dan sementara perasaan ini disertai dengan perkataan-perkataan yang ingin diucapkan masih lagi bermain di fikiran saya, eloklah saya teruskan.

Banyak peristiwa penting dalam hidup saya berlaku sepanjang tahun 2012. Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan pengajian saya dalam bidang perakaunan pada 15 Julai 2012. Majlis graduasi berlangsung pada 26 November 2012, dan harapan saya untuk menyenangkan hati mama dan abah saya sepanjang tempoh mereka ke sini pada waktu itu terlaksana. Puas rasanya apabila melihat mereka tersenyum, puas apabila mereka suka dengan setiap pemberian kita, biar pun saya tamat pengajian bukanlah dengan keputusan yang cemerlang sebagaimana orang lain, tapi lega apabila perkataan syukur itu dinyatakan sendiri oleh mama kepada saya. Dan mereka bersetuju dengan saya, yang sudah lepas usah dikenang, pandang ke hadapan, jauh lagi perjalanan. 

Tahun 2012 juga semakin bermakna, apabila saya diterima untuk memulakan perjalanan karier saya di Afrizan Tarmili Khairul Azahar (AFTAAS), sebuah firma perakaunan dan audit pada 1 Oktober 2012. Saya ditempatkan di cawangan Shah Alam, sesuatu yang menggembirakan saya kerana berdekatan dengan rumah sewa. Tidak perlu bangun tergesa-gesa di pagi hari.  Alhamdulillah, sudah 3 bulan saya bekerja, saya diterima baik oleh rakan sekerja, saya dapat bergaul baik dengan mereka, malah mereka tidak lokek dalam memberi tunjuk ajar. Semoga perhubungan ini berkekalan baiknya seperti sekarang, dan terus akrab.

Menjelang 2013, umur saya akan meningkat menjadi 24 tahun. Angka ini besar bagi saya, besar jika nak dibandingkan dengan apa yang saya mampu capai hingga ke saat ini. Tiada apa yang hebat hasilnya selama 5 tahun setelah tamat SPM. Namun saya amat mengharapkan dalam tempoh 5 tahun selepas ini saya mampu merubah sesuatu dalam hidup saya. Apa pencapaian yang saya inginkan biarlah menjadi perancangan saya sendiri, dan semoga Allah memberkati perancangan saya dan memudahkan segala urusan berkenaannya. Amin.

Jika disebut azam tahun baru pada kali ini, seperti biasa saya akan katakan seperti yang saya selalu cakap pada setiap pagi pada hari-hari tahun lepas (namun kadang-kadang terlupa) "Saya nak jadi lebih baik dari hari yang sebelumnya,tahun sebelumnya." 

Tapi untuk tahun ini, 2013, untuk umur ini, 24 tahun, saya nak lebih spesifik. Selain apa yang saya tulis dekat status facebook. Ada lagi yang lebih spesifik. 

Saya nak fokus kepada konsistensi saya dalam melakukan sesuatu perkara. Saya ingin tumpukan perhatian saya pada perkara kecil, supaya mudah untuk saya cuba mencapai perkara-perkara yang lebih besar dalam hidup saya di masa yang seterusnya.

Sebagai contoh, saya tidak mahu lupa. Ya, azam saya untuk tidak mahu lupa. Segalanya, tidak boleh lupa. Dari lupa hendak kunci jam pada waktu malam sebelum tidur supaya tidak terlambat bangun pagi pada keesokkan harinya, daripada lupa tertinggal fail di dalam rumah ketika dah dalam perjalanan ke tempat kerja, yang penting tak mahu lupa apa-apa pun.

Kedua, saya nak tingkatkan ilmu. Saya nak baca lebih banyak benda-benda bermanfaat, baik dari segi agama dan lain-lain. Alhamdulillah, saya berjaya menyukai pekerjaan yang saya lakukan sekarang. Bagaimana caranya? Kalau tanya saya, bukan kerana saya paksa, tapi saya biar hati saya terima untuk mencuba, dan saya anggap ia sebagai pelajaran baru dalam hidup saya. Di saat saya terima tawaran itu pada hari saya memberi jawapan kepada AFTAAS, saya terima pekerjaan itu bersama-sama dengan risikonya dan juga keadaan pekerjaan itu sendiri. Saya terima jika saya pulang lambat, saya terima jika saya penat,  dan apabila saya melakukannya, saya anggap ianya sebagai cabaran yang saya perlu tangani. Saya mahu menjadikan hidup saya menarik dengan melakukan benda yang saya nak elakkan selama ini, audit. 

Dan didorong oleh pekerjaan yang lakukan itulah, saya ingin melakukan yang terbaik untuk menimprovasikan  diri. Dan pada masa yang sama, saya tak mahu disebabkan improvasi yang saya lakukan, saya ada rasa seolah-olah saya bersih dari orang lain. Semoga dijauhkan semua perasaan itu. Biar saya terus diingatkan siapa saya, biar saya terus diingatkan betapa berdosanya saya, dari saya langsung lupa akan segala kelemahan saya hingga saya pandang dan tunjuk salah orang lain tanpa usul periksa.

Semoga Allah kekalkan saya dalam kesederhanaan dan tidak dikaburi lagi dengan menuruti hawa nafsu saya. Insya Allah.


Have a great year ahead, friends.